Khamis, 22 September 2016

KEPIMPINAN PENGETUA

Kajian-kajian empirikal dalam bidang pengurusan pendidikan telah membekalkan bukti teoritikal tentang kecemerlangan kepimpinan pengetua dalam mencitra dan memperkasakan warga sekolah secara berkesan. Hal ini terbukti apabila kajian– kajian bertemakan keberkesanan sekolah sentiasa mendapati kepimpinan pengetua sebagai salah satu faktor yang penting dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah. Tegasnya, kemahiran dan keterampilan kepimpinan pengetua telah diterima sebagai faktor kritikal dalam menambah baik keberkesanan sekolah (Blasé & Blasé 2001), pencapaian pelajar (Fullan 2001), budaya kolaboratif (Sergiovanni 2001), dan sebagainya. Sebaliknya, kajian sistematik secara empirikal kurang dijalankan untuk mengenal pasti kesan pincang laku kepimpinan pengetua terhadap guru. Sehingga kini, hanya dua bidang pengurusan pendidikan sahaja yang telah berusaha untuk menghurai kesan pincang laku kepimpinan pengetua terhadap guru. Sebagai contoh, kajian gaya kepimpinan sering dikaitkan dengan stres dan ‘burnout’ guru (Adams 1988; Diehl 1993), manakala kajian mikropolitik pula cuba menghurai akibat ketidakadilan berlaku dalam organisasi dari segi pengiktirafan, penguatkuasaan peraturan, dan agihan ganjaran (Blasé 1991). Sungguhpun kedua-dua bidang ini telah meletakkan asas yang kukuh akan kewujudan masalah pincang laku kepimpinan pengetua terhadap guru, namun pendekatan ini nampaknya tidak dapat menjelaskan kesannya secara tepat dan komprehensif. Justeru, artikel ini ditulis berdasarkan penyelidikan kualitatif untuk membekalkan pengetahuan secara konstruktif tentang pincang laku kepimpinan pengetua dan kesan distruktif tersebut kepada guru menurut pandangan dan pengalaman guru. Perlakuan kepimpinan pengetua yang didefinisikan sebagai pincang laku juga turut dihuraikan secara terperinci dengan menyedari bahawa setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza akan fenomena ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan