Memaparkan catatan dengan label Model Pengurusan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Model Pengurusan. Papar semua catatan

Isnin, 27 April 2009

PENGGUNAAN MODEL-MODEL INDUSTRI DALAM PENGURUSAN PENDIDIKAN

Pengenalan
Pengurusan telah pun dipraktikkan sejak beribu-ribu tahun dahulu, tetapi sejak kebelakangan ini segala pengalaman itu dikumpulkan dan dijadikan sebagai satu disiplin pengetahuan. Pemikiran pengurusan berkembang dengan perlahan sehinggalah zaman Revolusi Perindustrian. Ini berpunca dari beberapa faktor iaitu pertama, sejak zaman ahli falsafah Greek hingga ke zaman pertengahan, perniagaan tidak diterima sebagai satu profesion penting. Ahli ekonomi dan sains politik ketika itu tidak melibatkan diri dengan aktiviti perniagaan. Ketika itu, para peniaga tidak membantu dalam mengembangkan pemikiran pengurusan kerana mereka beranggapan bahawa profesion mereka sebagai ahli seni dan bukan ahli sains. Oleh sebab itu tiada insentif khas bagi teori pengurusan untuk terus berkembang. Walau bagaimanapun perkembangan teori pengurusan boleh dibahagikan kepada lima zaman iaitu pra-klasikal, klasikal, kelakuan, kuantitatif dan kontingensi atau terkini.

Dalam pengurusan pendidikan pula, tidak semua model-model dalam pengurusan industri dan perdagangan ini sesuai diguna pakai dalam pengurusan pendidikan. Namun begitu terpulang pada seseorang individu atau organisasi tersebut untuk menggunakan model-model pengurusan industri dan perdagangan ini.
Masalah-masalah berhubung penggunaan model-model pengurusan bindustri dan perdagangan ke atas institusi pendidikan.


Konsep dalam industri seperti MBO, TQM, reengineering (perubahan pengurusan) di dalam industri dan perdagangan tidak begitu berjaya maka keberkesanannya dalam pendidikan juga boleh dipersoalkan. Kebanyakan berpandangan institusi pendidikan berbeza cara pengurusan dibandingkan dengan industri dan perdagangan. Sekiranya digunakan maka boleh mengabaikan objektif dan tujuan pendidikan tersebut. Kita sedia maklum bahawa objektif pengurusan dalam industri dan perdagangan lebih tertumpu kepada penghasilan bahan dan keuntungan. Sekiranya objektif atau tujuan ini dipraktikkan dalam pengurusan pendidikan sudah pasti nilai-nilai lain dalam pendidikan diabaikan. Sekiranya cara pengurusan dalam industri dan perdagangan ini dipraktikkan juga sudah pasti semua institusi pendidikan akan mementingkan akademik berbanding dengan nilai-nilai lain.

Ada tujuh cara bagaimana pengurusan pendidikan berbeza dengan industri dan perdagangan. Pertama, masalah dalam menentukan objektif pendidikan. Di dalam pendidikan, untuk menetapkan sesuatu objektif bukanlah suatu perkara yang mudah. Di dalam sekolah, potensi pelajar perlu diambil kira selain mengembangkan nilai dan kepercayaan, sahsiah, personal kapasiti untuk persediaan mereka dalam masyarakat, pekerjaan dan sebagainya. Selain mengambil kira potensi murid, peranan guru juga penting dan perlu diambil kira. Adakah guru hanya sebagai fasilitator, pembimbing, kaunselor dan sebagainya. Jika dilihat dalam bidang industri dan perdagangan pula adakah masalah yang sama dalam pendidikan ini wujud dalam menentukan objektif. Sudah pasti tidak kerana industri dan perdagangan mempunyai matlamat atau objektif yang secara totalnya begitu berbeza dengan pendidikan. Kebanyakan industri dan perdagangan lebih mementingkan hasil pengeluaran dan keuntungan.

Seterusnya, mengukur pencapaian objektif dalam pendidikan. Bukanlah perkara mudah untuk mengukur pencapaian objektif ini di dalam pendidikan. Sebagai contoh sekiranya sebuah sekolah itu mendapat keputusan SPM yang cemerlang pada tahun ini berbanding pada tahun lepas, adakah objektif pengurusan pendidikan sekolah itu telah tercapai? Begitu juga sekiranya keputusan sekolah A lebih baik dari keputusan sekolah B. Adakah kita beranggapan objektif sekolah A itu tercapai? Dalam hal ini terdapat banyak masalah dan faktor untuk mengukur pencapaian objektif dalam institusi pendidikan. Antaranya termasuklah kawasan atau kedudukan sesuatu sekolah tersebut iaitu sama ada lokasinya dalam bandar, luar bandar , pendalaman dan sebagainya. Faktor ini begitu berpengaruh kerana tedapat banyak perbezaan. Begitu juga dengan sekolah harian biasa dan sekolah kawalan juga ada perbezaan yang ketara. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan sesebuah sekolah itu mencapai objektif dan berjaya hanya bersandarkan keputusan peperiksaan sahaja atau keputusan akademik sahaja. Dalam institusi pendidikan seperti sekolah terdapat banyak aspek lain seperti bagaimana hendak mengukur sahsiah begitu juga dengan pencapaian bahasa, penulisan, arithmetik juga tidak boleh diukur secara objektif. Kebanyakan aspek atau ciri-ciri dalam pendidikan adalah bersifat subjektif.

Seterusnya kita juga perlu melihat apakah fokus dalam bidang pendidikan. Seperti yang kita sedia maklum, bidang pendidikan perlu ada kurikulum, ko-kurikulum, buku teks, gred, pedagogi, bangunan sekolah dan pelajar. Perkara-perkara ini sudah tentulah berbeza dengan bidang industri dan perdagangan. Kita juga perlu tahu apakah peranan pelajar dalam sekolah dan persekolahan. Adakah pelajar merupakan bahan mentah yang boleh diproses dan dibentuk? Sudah pasti jawapannya tidak kerana pelajar bukanlah satu bahan yang senang-senang untuk diproses dan dibentuk seperti bahan-bahan yang terdapat dalam industri dan perdagangan yang sememangnya perlu diproses dan dibentuk mengikut matlamat atau keperluannya. Manakala pelajar pula adalah insan yang bernyawa yang mempunyai perasaan dan karekter peribadi masing-masing yang bukan mudah untuk dibentuk dan perlu diproses dalam jangka masa yang panjang tidak seperti bahan mentah dalam industri yang boleh diproses dalam masa yang singkat menggunakan alatan teknologi yang ada. Begitu juga dengan peranan guru dan pentadbir dalam hubungan dengan kedudukan dan peranan pelajar. Sememangnya di sekolah, guru dan pentadbir memainkan peranan yang sangat penting kerana kejayaan seseuatu sekolah tersebut banyak bergantung kepada peranan guru dan pentadbir itu sendiri. Ini kerana guru dan pentadbirlah yang berperanan untuk membentuk pelajar ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Bukanlah mudah untuk membentuk pelajar seperti mana yang dikehendaki oleh guru dan pentadbir. Sekiranya sebuah sekolah yang mempunyai guru dan pentadbir yang terlalu mementingkan disiplin, adakah ia dianggap berjaya apabila para pelajar mematuhinya atau sebenarnya wujud satu tekanan dalam diri pelajar tersebut. Adakah kita boleh mengatakan sekolah itu berjaya dan berkesan sekiranya semasa proses pengajaran dan pembelajaran semua pelajarnya senyap. Sudah pasti dalam hal ini ada pro dan kontra bagi jawapannya. Namun dalam bidang industri dan perdagangan perkara-perkara seperti ini tidak perlu dibimbangkan kerana semua ahli didalamnya sudah maklum dengan tugas masing-masing. Sebab itulah model pengurusan industri dan perdagangan ini tidak boleh diaplikasikan dalam bidang pendidikan ini.

Dalam definisi perhubungan antara pengurus atau pentadbir dan guru dalam organisasi sekolah adalah seperti berkongsi latar belakang dan pengalaman, nilai dan latihan yang sama. Sememangnya dalam institusi pendidikan semua guru termasuk pentadbir yang juga adalah seorang guru mempunyai pengalaman dan latihan yang memang sama. Ini berbeza dalam industri dan perdagangan yang mana setiap unit atau bahagian mempunyai pekerja yang berlainan dari segi pengalaman, kemahiran dan latihan dan mereka boleh fokus kepada tugas mereka sahaja berbanding seorang guru yang perlu tahu mempelbagaikan tugas termasuk tugas-tugas pengurusan. Sebagai contoh seorang guru prasekolah perlu tahu pengurusan kelas, kewangan disamping menjadi pembimbing, fasilitator kepada anak didiknya. Walaupun seorang guru itu mendapat latihan contohnya bidang sains namun sekiranya ketika dihantar bertugas bidang tersebut sudah mencukupi maka guru tersebut perlu bersedia untuk mengajar bidang yang lain. Oleh sebab itulah dalam kursus-kursus perguruan setiap calon guru perlu belajar semua subjek termasuk bahasa, matematik, sains dan sebagainya sebagai persediaan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku. Tetapi ia amat berbeza dengan bidang industri dan perdagangan yang mana calon yang diambil bertugas adalah yang mempunyai kelayakan dalam bidang yang ditugaskan sahaja.

Seterusnya seorang pengurus iaitu pengetua atau guru besar sekiranya di sekolah mempunyai pilihan sama ada lebih teknokrat atau birokrat dan mementingkan undang-undang dan peraturan dalam aspek pengurusan di sekolah. Kebanyakan pengetua sekolah lebih bersifat birokratik berbanding teknokratik. Namun dalam bidang industri dan perdagangan masa kini kebanyakannya lebih tertumpu kepada pengurusan teknokrat berbanding birokrat. Di sekolah, ramai kalangan pentadbir yang memilih pengurusan birokrat. Undang-undang dan peraturan di sekolah juga banyak dipengaruhi oleh kehendak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah itu sendiri. Sebab itulah kadangkala terdapat perbezaan dari segi undang-undang dan peraturan antara sebuah sekolah dengan sekolah yang lain terutama dari segi berpakaian termasuk warna baju, begitu juga dengan undang-undang dan peraturan yang lain. Terdapat juga banyak perbezaan antara sekolah berasrama penuh dengan sekolah harian biasa terutama dari segi pakaian, waktu persekolahan dan sebagainya begitu juga dengan visi dan misi sesebuah sekolah. Sebagai contoh, terdapatnya perbezaan undang-undang dan peraturan antara SMK Aminuddin Baki iaitu sebuah sekolah kawalan dengan SMK Datok Lokman yang merupakan sekolah harian biasa walaupun jarak sekolah ini berdekatan. Ini kerana sekolah kawalan merupakan sekolah yang mempunyai pelajar yang telah terpilih dari segi akademik iaitu calon-calon UPSR yang hanya mendapat 4A dan 5A sahaja manakala sekolah harian biasa pula adalah sebuah sekolah yang menerima sahaja kemasukan pelajar tidak kira akademik.

Guru-guru adalah professional, oleh itu mereka meminta supaya kuasa autonomi sepenuhnya sebagai seorang professional di dalam kelas. Oleh itu usaha-usaha untuk menyelia pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan menimbulkan masalah. Ini juga berlaku kerana guru-guru beranggapan semua pentadbir di sekolah atau jabatan dan sebagainya mempunyai kelayakan yang setaraf dengan mereka. Sememangnya jika seorang guru itu dianggap professional maka kuasa autonomi ini perlu diberikan terutama di dalam kelas supaya guru tersebut boleh mengaplikasikan segala kemahiran dan pengetahuan yang ada kepada para pelajarnya. Terdapat juga guru-guru yang suka melakukan eksperimen terhadap pelajar-pelajarnya seperti mempraktikkan teori yang dipelajari dan sebagainya supaya p & p dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Hal demikian tidak boleh dipraktikkan dalam bidang industri dan perdagangan kerana akibatnya amat besar kerana sekiranya seorang pekerja membuat satu kesilapan sahaja pun boleh mendatangkan kerugian kepada syarikat tersebut. Namun perkara seperti ini boleh dilakukan dalam bidang pendidikan.

Seterusnya terdapat pelbagai model dalam pengurusan pendidikan yang mempunyai pandangan dan keterangan yang berbeza berkaitan dengan kedudukan dan perhubungan dengan manusia, kurikulum dan arahan. Sememangnya perkara ini berlaku kerana bidang pendidikan merupakan satu bidang yang luas dan dan oleh itu terlalu banyak pandangan dan pendapat mengenainyai. Ini kerana bidang pendidikan bukan menghasilkan produk seperti yang terdapat dalam bidang industri dan perdagangan. Bidang pendidikan sepatutnya lebih kepada menghasilkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai murni serta melahirkan pelajar yang berpotensi dalam semua bidang iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan.

Dalam konteks pendidikan, hubungan guru dan pelajar adalah penting. Di dalam pendidikan, pelajar merupakan pelanggan. Oleh itu, sebagai guru keutamaan harus diberi kepada pelajar sebagai pelanggan kerana sekiranya tiada pelajar maka sudah tentu guru juga tiada pekerjaan. Maka dengan itu adalah menjadi tugas utama dan penting untuk menjaga pelanggan iaitu pelajar. Oleh itu guru harus menjadi pembimbing, penjaga dan sebagainya kepada pelajar dan hubungan antara guru dan pelajar ini tidak sama juga seperti hubungan antara doktor dan pesakit, peguam serta pelanggan dan sebagainya. Begitu juga dengan bidang industri dan perdagangan, ia lebih tertumpu kepada hubungan antara syarikat dan pelanggan juga. Berdasarkan kepada model-model pengurusan yang ada, kita lihat bukan setakat hubungan guru dan pelajar tetapi juga hubungan guru ini dengan ibu bapa, masyarakat dan sebagainya. Di mana hubungan tersebut lebih luas berbanding dengan bidang professional yang lain. Apatah lagi dalam bidang industri dan perdagangan ia lebih tertumpu kepada hubungan sehala iaitu antara syarikat dan pelanggan.

Dari segi proses pembuatan keputusan dalam pendidikan umumnya dan sekolah khasnya banyak dipengaruhi oleh pelbagai sektor, persatuan atau pertubuhan yang mana setiap mereka ini mempunyai kepentingan dalam pendidikan. Antaranya termasuklah Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah, exco pendidikan kerajaan negeri, ahli-ahli politik, masyarakat dan lain-lain lagi yang menganggap mempunyai kepentingan dalam pendidikan. Oleh demikian, bukanlah mudah bagi sesebuah sekolah membuat keputusan sendiri kerana perlu merujuk kepada badan-badan yang disebutkan tadi. Kadang-kadang untuk membuat sesuatu projek di sekolah juga bukanlah mudah mendapat untuk mendapatkan keputusan kerana terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi. Di peringkat kementerian, didapati banyak dasar-dasar yang hendak di implementasikan dalam pendidikan di peringkat sekolah. Ada juga di antara dasar-dasar tersebut tidak sesuai untuk diguna pakai dalam kebanyakan sekolah. Setiap dasar yang hendak dijalankan juga melibatkan kos yang banyak. Sebagai contoh dasar PPSMI iaitu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, apabila dasar ini dijalankan maka ia melibatkan kos yang begitu banyak termasuk pemberian elaun kepada guru-guru yang mengajar subjek tersebut, penyediaan bahan p & p termasuk membekalkan laptop kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Apa yang hendak diperkatakan ialah apakah hasilnya memuaskan hati semua pihak? Adakah semua pelajar sudah menguasai kemahiran yang dipelajari dalam Bahasa Inggeris tersebut? Adakah guru-guru begitu komited mengajar bidang tersebut? Sebenarnya banyak kajian-kajian yang dilakukan oleh calon-calon sarjana dan doktor falsafah mengenai bidang tersebut dan banyak pro dan kontranya. Namun yang pasti banyak kos yang telah pun digunakan. Maka pada pendapat saya secara tidak langsung bidang pengurusan pendidikan ini membuka banyak peluang kepada bidang industri dan perdagangan. Bagi sesetengah bidang industri, mereka yang di bidang pendidikan adalah pelanggan paling utama. Jika kita lihat bajet yang dibentangkan pada setiap tahun juga melihatkan peruntukan yang banyak dalam bidang pendidikan. Oleh sebab itu bidang pengurusan pendidikan ini tidak boleh mempraktikkan model-model pengurusan dalam industri dan perdagangan kerana bidang pendidikan ini satu bidang yang unik.

Di dalam konteks pendidikan juga seseorang guru itu kadangkala terpaksa berhadapan dengan konflik iaitu peranan mereka sebagai professional dan juga peranan mereka sebagai pentadbir atau pengurus pendidikan. Sebenarnya seorang guru itu mempunyai masa yang sangat terhad untuk membuat kerja-kerja pengurusan ini. Ini kerana guru adalah satu tugas professional sepenuh masa. Di samping mempunyai masa yang terhad, ada juga di kalangan guru-guru ini tidak mempunyai pengetahuan dan daya untuk melakukan kerja-kerja pengurusan ini. Sebagai contoh bukan semua guru diajar untuk membuat kewangan atau stok ketika dalam latihan. Oleh demikian, guru tersebut tidak tahu untuk membuat kerja-kerja tersebut. Masalah ini biasa berlaku sekiranya sebuah sekolah tersebut tidak cukup pekerja-pekerja bagi pentadbiran seperti kerani atau pembantu am. Oleh demikian guru terpaksa mengambil alih tugas-tugas tersebut dan sudah tentu ia banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan. Sebagai contoh seorang guru yang leka menaip borang tuntutan atau membuat kertas kerja sudah tentu mengabaikan waktu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Begitu juga jika seseorang guru itu menjadi orang penting bagi jabatannya seperti menjadi Jurulatih Utama, maka guru tersebut akan banyak meninggalkan pengajaran dan pembelajarannya di sekolah kerana terpaksa menghadiri dan mengendalikan kursus-kursus, menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Secara tidak langsung guru-guru seperti ini banyak menghabiskan masa di luar sekolah. Cuma apabila kerajaan mengumumkan langkah berjimat cermat akibat kenaikan harga minyak barulah banyak kursus dan mesyuarat dikurangkan. Perkara seperti ini jarang berlaku dalam bidang industri dan perdagangan kerana setiap pekerjanya mempunyai peranan tersendiri.

Sememangnya kerja-kerja pengurusan ini hanya satu beban kepada guru berbanding dengan pengurus syarikat yang sememangnya itu adalah tugas hakiki mereka. Guru juga tidak mempunyai masa dan pengetahuan untuk melakukan kerja-kerja pengurusan ini kerana secara tidak langsung pengurusan hanya mengganggu pekerjaan hakiki seseorang guru tersebut. Biarlah seorang guru itu berperanan dan bertugas sebagai seorang guru dan kemudian baru menjadi pengurus sekiranya diperlukan seperti menjadi pentadbir sekolah.


KESIMPULAN

Walaupun terdapat juga hujah-hujah yang mengatakan bahawa prinsip pengurusan boleh digunakan dalam bidang pendidikan seperti sekolah tetapi ia adalah pada peringkat awal apabila pengurusan pendidikan menggunakan konsep industri dan perdagangan ini. Idea tersebut diadaptasi secara am sebelum diguna bulat-bulat dalam bidang pendidikan ini. Sememangnya sebagai institusi pendidikan seperti sekolah, tidak perlu berbangga dengan tradisi dan keunikan yang tersendiri tanpa mengambil kira organisasi yang lain.

Pengurusan pendidikan juga perlu berhati-hati di dalam mengambil prinsip am pengurusan dalam organisasi mereka. Mereka perlu mengkaji sama ada prinsip itu berkesan atau berjaya sekiranya diaplikasikan dalam organisasi pendidikan. Begitu juga dengan sekolah yang sememangnya mempunyai cara yang berbeza dengan organisasi yang menetapkan keuntungan sebagai objektif seperti organisasi dalam industri dan perdagangan.

Menggunakan teori moden seperti TQM, ‘reengineering’, organisasi pembelajaran dan sebagainya perlu diadaptasi secara berhati-hati supaya sekolah tidak menjadi seperti kilang-kilang. Oleh itu, pertimbangan utama adalah untuk memastikan ciri-ciri atau karektor pendidikan dan persekolahan dijaga dan tidak terlalu teruja dengan kejayaan model-model pengurusan di dalam industri kerana berkemungkinan model-model ini mendatangkan banyak keburukan dari kebaikan jika diadaptasi di sekolah-sekolah atau institusi pendidikan yang lain.

MENGAPLIKASIKAN MODEL-MODEL PENGURUSAN DI SEKOLAH

Pengenalan
Masyarakat hari ini adalah masyarakat berorganisasi iaitu masyarakat yang tersusun dan berperaturan. Manusia dilahirkan di dalam organisasi, menerima pelajaran di dalam organisasi dan kebanyakan daripada masa dihabiskan di dalam organisasi seperti di rumah, sekolah, pejabat, syarikat, persatuan dan sebagainya. Pendek kata, kehidupan manusia hari ini tidak boleh terpisah dari organisasi sehingga mereka mati pun diselenggarakan oleh organisasi. Oleh kerana masyarakat moden kini lebih mengutamakan rasionalisasi, keberkesanan dan prestasi, maka peranan organisasi semakin kritikal dan mencabar. Salah satu cara dilakukan ialah dengan mengkordinasikan kegiatan manusia di dalam organisasi dengan sumber yang ada supaya dapat diolah melalui kepimpinan atau pengurusan yang berkesan dan berkebolehan. Proses pengurusan seperti ini merupakan sumbangan organisasi kepada masyarakat dan juga individu untuk memenuhi kehendak mereka yang berbagai dan kadangkala menekan.

Begitu juga dengan pengurusan dan organisasi sekolah, walaupun terdapat banyak masalah atau tekanan yang terpaksa dihadapi, namun penggunaan model-model pengurusan pendidikan ini secara tidak langsung boleh membantu pihak pentadbir sekolah menguruskan organisasi sekolah dengan lebih baik lagi. Terdapat enam model pengurusan pendidikan iaitu Formal Models, Collegial Models, Political Models, Subjective Models, Ambiguity Models dan Cultural Models.

Faktor-faktor dan perspektif yang harus dipertimbangkan dalam penggunaan model-model pengurusan pendidikan merujuk kepada contoh yang spesifik

Organisasi sekolah terkenal dengan pencapaian sesuatu matlamat. Formal model memberi beberapa penegasan atau rasional untuk mencapai matlamat organisasi tersebut. Terdapat lima model di dalam formal model ini iaitu structural models, systems model, bureaucratic models, rational models dan hierachical models. Elemen-elemen biasa yang terdapat dalam struktur formal adalah seperti menganggap organisasi sebagai sistem, memberi tekanan kepada struktur formal, hierarki, mencari matlamat, rasional dalam pembuatan keputusan ( focus kepada matlamat ), tekanan ke atas autoriti dan kedudukan rasmi dan bertanggungjawab kepada kuasa atasan.

Salah satu cabang dalam formal model adalah structural model iaitu satu model yang berstruktur. Konsep structural model ini adalah adanya hierarki, mesti ada pengagihan tugas, perlunya pelaksanaan tugas dan pengawasannya dan ada undang-undang dan peraturan. Sebagai contoh dalam pengurusan sekolah, model ini digunakan dengan meluasnya terutama dalam pengurusan sesuatu jawatankuasa, contohnya jawatankuasa kurikulum di mana dalam struktur jawatankuasa ini terdapat hierarki iaitu pengetua sebagai penasihat diikuti oleh GPK tadbir dan kurikulum sebagai pengerusi, setiusaha dilantik dari kalangan guru biasa manakala AJK pula terdiri dari ketua-ketua bidang, ketua-ketua panitia serta penyelaras-penyelaras aliran. Setiap jawatankuasa ini pula mempunyai peranan dan tugas mereka yang tersendiri dan setiap tugasan ini pula adanya pengawasan dari pihak pentadbir. Ini kerana jawatankuasa kurikulum adalah satu jawatankuasa yang penting disetiap sekolah kerana jawatankuasa ini boleh menentukan pencapaian akademik sesebuah sekolah itu.

Seterusnya dalam formal model juga terdapat model birokrasi. Model birokrasi ini pula mempunyai jawatan tetap contohnya jawatan pengetua, pengetua adalah satu jawatan yang tetap dan penyandangnya pula boleh berubah-ubah. Model birokrasi ini juga mempunyai hierarki dan undang-undang serta tidak mengambil kira faktor-faktor personal dalam melaksanakan undang-undang dan dalam pemberian kemudahan. Masalah di dalam model ini pula ialah lebih fokus kepada prosedur dari matlamat, menekankan undang-undang, rigid dan menghalang inovasi. Pentadbir dalam sistem birokrasi ini adalah dilantik berdasarkan kelayakan, setia pada organisasi, mencorakkan apa yang dia mahu dari kerjayanya, mementingkan kemahiran professional, dia juga sedar adanya batasan kuasa dan skop, dia juga tahu dia Cuma penyandang tugas dan mentadbir berdasarkan undang-undang organisasi dan ada batasan.

Sebagai contoh dalam pengurusan sekolah, model birokratik ini lebih kepada pengetua atau guru besar sesebuah sekolah tersebut. Kita sering melihat jawatan pengetua ini sering bertukar orang atas beberapa sebab seperti bersara, kenaikan pangkat dan sebagainya. Selain itu, sering juga didapati pentadbir sekolah terutamanya golongan wanita terlalu menekankan undang-undang contohnya perlu hadir pada setiap mesyuarat tanpa alasan. Masalah seperti inilah yang kadangkala menimbulkan kebosanan pada guru-guru lain. Kadangkala mesyuarat tersebut tidak ada kena mengena pun dengan guru tersebut dan hanya membuang masa sahaja apatah lagi yang bersuara hanya seorang atau dua orang iaitu pentadbir itu sendiri. Kita boleh terima sekiranya penekanan undang-undang sekolah seperti waktu datang dan waktu balik serta perlu tepati masa untuk masuk ke kelas maka memang sesuai model ini diaplikasikan.
Seterusnya, collegial models iaitu berdasarkan kepada persetujuan ramai ( lebih kepada konsep demokrasi ). Perkongsian kuasa dan penyertaan ahli dalam membuat keputusan ada pelbagai peringkat yang terdapat dalam model ini iaitu pure collegiality yang mana di dalam model ini semua ahli dalam organisasi mempunyai hak yang sama dan terlibat dalam membuat keputusan serta restricted collegiality iaitu pengetua berkongsi kuasa dengan beberapa orang sahaja dan hanya beberapa orang sahaja yang terlibat.

Collegial model ini sebenarnya sesuai dipratikkan di sekolah-sekolah yang kecil supaya semua ahli dalam organisasi sekolah itu mempunyai hak untuk membuat keputusan. Namun begitu boleh juga diaplikasikan pada sekolah-sekolah yang besar iaitu dengan mewakilkan beberapa orang sahaja untuk membuat sesuatu keputusan.

Sebagai contoh, model ini boleh digunakan dalam sekolah-sekolah luar bandar yang bilangan guru dan murid adalah sedikit. Oleh itu pengurusan sekolah tersebut boleh mengambil kira suara semua guru sekiranya sesuatu projek atau mesyuarat dijalankan. Contohnya sekiranya sekolah tersebut hendak mengadakan sukan maka semua guru boleh memberi pendapat dan mempunyai hak masing-masing untuk membuat keputusan.

Model ini juga boleh diaplikasikan dalam pengurusan sekolah yang lebih besar lagi tetapi hanya beberapa orang guru sahaja yang terlibat. Sebagai contoh, sekiranya sekolah tersebut mengadakan kelas tambahan untuk pelajar tahun 6 maka sudah tentu pihak pentadbir akan berbincang dengan guru-guru yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran tahun 6 sahaja. Walau bagaimanapun guru-guru mempunyai hak masing-masing untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut. Contoh lain, kebanyakan pentadbir hanya melibatkan beberapa orang guru sahaja dalam membuat jadual waktu. Biasanya guru-guru yang terlibat dengan jadual waktu ini mempunyai hak untuk menentukan mereka yang terlibat. Sememangnya dalam hal ini juga, pentadbir hanya berkongsi pendapat dengan beberapa orang guru sahaja.

Model pengurusan pendidikan seterusnya ialah political models. Konsep political models ini adalah menggunakan kuasa dan pengaruh untuk kepentingan sendiri. Dalam pengurusan sekolah, didapati model ini secara tidak langsung diaplikasikan oleh pentadbir sekolah amnya dan pengetua sekolah khususnya. Didapati pengetua yang mengguna pakai model ini lebih suka mengawal mesyuarat, sudah mengetahui keputusan mesyuarat dan mengawal informasi. Terdapat juga pengetua yang mempunyai kepentingan sendiri berselindung di sebalik isu-isu professional.

Contoh-contoh bagi political model ini pula boleh dikatakan banyak digunakan oleh pihak pentadbir dalam pengurusan sesebuah sekolah. Sebagai contoh pentadbir mempunyai banyak urusan pihak-pihak penjual dan pemasaran seperti membekalkan buku kerja atau buku rujukan kepada pihak sekolah. Dalam hal ini seorang pentadbir akan membuat tawar-menawar sehinggalah kepentingan diri sudah diperoleh. Walaupun kadangkala terdapat juga guru-guru yang membantah mengambil buku rujukan dari A misalnya tetapi oleh kerana adanya personal interest atau kepentingan pada pihak pentadbir dengan A maka guru tersebut terpaksa akur juga. Kita dapati adalah menjadi lumrah pada setiap awal tahun dan akhir tahun ramai pembekal-pembekal yang datang ke sekolah dengan membawa pelbagai alatan pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal inilah political models ini akan diguna pakai oleh pihak pentadbir. Ini kerana melibatkan banyak kepentingan diri dari segi interaksi antara pentadbir dan pembekal ini. Ada juga pihak pentadbir yang menggunakan khidmat satu atau dua pembekal sahaja bagi membekalkan semua peralatan di sekolahnya. Maka jelas sekali terdapatnya kepentingan sendiri di sini. Hal ini bersesuaian dengan prinsip ada ubi ada batas, ada budi ada balas.

Model pengurusan pendidikan yang berikutnya adalah subjective models. Subjective models ini lebih mementingkan pandangan individu daripada kumpulan. Maksudnya kepentingan individu ini boleh membantu kepada organisasi atau kumpulan tersebut. Ia juga memberi keutamaan kepada setiap individu dalam organisasi. Jika dilihat dalam pengurusan sekolah antara formal model dan subjective model ini didapati formal model mencapai matlamat manakala subjective model pula melihat kepada orang-orang atau ahli-ahli dalam organisasi. Selain itu, formal model untuk membangunkan organisasi manakala subjective model lebih mementingkan nilai-nilai yang terdapat dalam setiap individu. Biasanya seorang pengetua yang mengambil atau yang mengguna pakai subjective model ini akan membantah ( reject ) struktur di dalam sekolah.

Sebagai contoh penggunaan subjective model ini dalam pengurusan sekolah adalah seperti masalah disiplin seperti datang lewat ke sekolah, tidak mengikut peraturan sekolah dan sebagainya. Mungkin guru-guru mempunyai pandangan masing-masing dan bersetuju dengan apa-apa keputusan bagi masalah tersebut, tetapi mungkin pada waktu yang lain pula persepsi guru tersebut akan berubah. Ianya adalah subjektif dalam membuat apa-apa keputusan maksudnya tidak mempunyai objektif dan berstruktur.

Contoh lain ialah dalam mesyuarat guru, seboleh-bolehnya pihak pentadbir yang mengguna pakai subjective model ini akan berusaha untuk meminta pandangan atau pendapat setiap gurunya. Ini kerana pihak pentadbir tersebut lebih mementingkan individu di dalam sekolahnya. Pentadbir juga tidak mengikut struktur sekolahnya kerana beliau lebih mementingkan setiap individu atau ahli atau guru di dalam organisasinya.

Model pengurusan pendidikan yang kelima pula ialah ambiguity models. Ambiguity models ini bermaksud di dalam setiap organisasi pasti ada masalah kecelaruan dan ketidakpastian yang disebabkan oleh matlamat yang tidak jelas. Model ini menekankan ketidakpastian dan ketidaktentuan. Sebab berlakunya perkara-perkara seperti ini adalah kerana matlamat yang tidak jelas, masalah kordinasi iaitu melibatkan banyak pihak serta kesan dari perubahan social, ekonomi, politik dan sebagainya. Selain itu, walaupun sesebuah organisasi ada jawatankuasa tetapi orang ahlinya selalu berubah, oleh demikian orang lain yang memberi idea tetapi orang lain yang melaksanakannya.

Sebagai contoh dalam pengurusan pendidikan prasekolah, model ini boleh diguna pakai kerana matlamat pendidikan prasekolah tiada kepastian dan ketentuan walaupun kita tahu pendidikan prasekolah adalah untuk persediaan kanak-kanak tersebut untuk memasuki tahun 1. Namun yang menjadi ketidak pastian dan terdapat kecelaruan adalah apabila pendidikan prasekolah itu berbeza dari segi matlamat yang dikehendaki oleh kementerian, jabatan, pejabat pelajaran daerah dan juga sekolah. Ini kerana kementerian bermatlamat untuk memberi peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun tetapi pihak jabatan pelajaran negeri dan dan daerah pula mempunyai agenda dan matlamat mereka sendiri sebagai contoh pendidikan prasekolah ini perlu dikembangkan potensi kanak-kanak itu dalam pelbagai aktiviti seperti dalam sukan, hari bakat dan sebagainya. Begitu juga dengan bangunan atau keadaan fizikal prasekolah itu sendiri perlu ada keceriaan dan dengan sebab itu contohnya di Negeri Sembilan setiap tahun diadakan penggredan bagi setiap prasekolah yang ada di negeri ini untuk memilih kelas prasekolah, guru, pembantu pengurusan murid dan murid yang terbilang. Walaupun perkara begini ada kebaikannya namun terdapat juga kelemahan sekiranya sesebuah prasekolah tersebut akan menumpukan dari aspek pengurusan prasekolah seperti keceriaan daripada aspek pengurusan murid. Pihak sekolah pula kebanyakannya menetapkan matlamat semua murid prasekolah boleh menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis apabila mereka berada di tahun 1. Dengan itu, sudah pasti pihak pengurusan prasekolah akan lebih mementingkan aspek akademik berbanding aspek-aspek lain yang perlu diperkembangkan seperti yang terdapat dalam kurikulum prasekolah. Oleh sebab itu, dalam hal-hal seperti ini, ambiguity models ini boleh diaplikasikan dalam pengurusan sekolah.

Model pengurusan pendidikan yang terakhir adalah cultural models. Cultural models adalah model yang menekankan budaya sekolah. Cultural model ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai dan norma-norma, corak tingkah laku dan tanggapan yang sama. Elemen-elemen yang terdapat dalam model ini seperti kreatif, inovatif dan sebagainya. Kebiasaannya kegunaan cultural model ini boleh mengubah persekitaran melalui ekologi iaitu keadaan fizikal, milleu iaitu orang-orang di dalam organisasi, system social iaitu struktur organisasi dan pentadbiran serta budaya iaitu nilai, kepercayaan dan norma.

Contoh bagi kegunaan cultural model ini adalah sesebuah sekolah yang mempunyai budaya mereka yang tersendiri. Contohnya sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di Jalan Peel di Kuala Lumpur didapati pihak pengurusan sekolah tersebut begitu mementingkan keceriaan sekolah. Oleh demikian pihak pengurusan sekolah tersebut sentiasa mempunyai idea untuk melaksanakan projek-projek yang berkaitan dengan keceriaaan sekolah seperti mengadakan gotong-royong sebulan sekali, mengadakan ceriathon iaitu mengutip derma untuk dana keceriaan sekolah tersebut. Secara tidak langsung juga pelajar di sekolah ini dibudayakan seperti menjaga kebersihan kelas dan ada dibuat pertandingan keceriaan kelas pada setiap yang mana hadiahnya diberi pada perhimpunan mingguan sekolah. Selain itu, pelajar sentiasa digalakkan menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah dan banyak tong-tong sampah disediakan. Pada pendapat pentadbir sekolah ini, sekiranya sekolah tersebut ceria dan bersih maka proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan mudah. Ini kerana pelajar sekolah tersebut boleh belajar dalam keadaan yang selesa. Di samping itu pihak pentadbir sekolah juga sentiasa memastikan ruang pejabat dan bilik-bilik pentadbir berada dalam keadaan yang kemas dan cantik. Ini kerana pada pendapat mereka pelawat akan memberikan tanggapan awal yang baik mengenai keseluruhan sekolah tersebut sekiranya suasana sekolah seperti demikian. Biasanya bagi budaya seperti ini kebanyakan pentadbirnya adalah dari kalangan golongan wanita.

Contoh lain pula ialah sebuah sekolah kebangsaan yang terdapat di Nilai, Negeri Sembilan. Budaya sekolah ini adalah berbeza sekali dengan budaya sekolah di atas. Ini kerana pihak pentadbir sekolah ini yang terdiri dari kalangan kaum lelaki langsung tidak mementingkan keceriaan sekolah tetapi budaya sekolah ini lebih kepada mengembangkan potensi pelajar sama ada dari segi akademik atau ko kurikulum. Oleh sebab itu walaupun persekitaran sekolah ini tidak ceria tetapi tidak pernah mengalami masalah disiplin yang serius. Guru-guru sekolah ini juga tidak merasa terbeban dengan kerja-kerja sampingan yang lain. Pendek kata, memang seronoklah mengajar di sekolah ini. Guru hanya menjadi pembimbing atau penasihat sekiranya terdapat pertandingan yang akan diwakili oleh pelajar tersebut. Salah satu budaya sekolah ini mengadakan aktiviti ko kurikulum pada sesi pagi dan ini terbukti berkesan apabila banyak pertandingan yang disertai oleh pelajar sekolah ini mencapai kemenangan yang membanggakan. Begitu juga dengan akademik, sekolah ini juga adalah antara yang baik. Namun begitu jika dilihat kepada persekitaran pejabat dan bilik-bilik pentadbirnya, sememangnya tiada apa yang diperlukan kerana keceriaannya tidak terserlah langsung. Itulah dua contoh tentang penggunaan cultural model ini dalam pengurusan sekolah. Sememangnya setiap sekolah itu mempunyai budaya yang tersendiri yang menjadikan sesebuah sekolah itu lebih unik lagi.

Kesimpulan

Sememangnya, keenam-enam model dalam pengurusan pendidikan ini mempunyai pendekatan yang berbeza dari segi konsep dalam pengurusan sekolah. Pengurusan sekolah juga tidak boleh berpandukan kepada satu model sahaja kerana keboleh gunaan model-model ini mengikut keutamaan dan bahagian adalah bergantung kepada peristiwa , situasi dan peserta malah juga bergantung kepada beberapa pertimbangan yang bertindihan.

Secara kesimpulannya, keenam-enam model pengurusan pendidikan tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan sememangnya boleh diguna pakai dalam pengurusan sekolah. Ini kerana pengurusan sekolah merupakan satu bidang yang sangat luas dan merangkumi banyak aspek seperti kurikulum, ko kurikulum, hal ehwal murid dan sebagainya. Dari aspek yang disebutkan itu pula banyak lagi cabang-cabang yang terdapat di dalamnya. Maka penggunaan model-model tersebut tidaklah tertumpu kepada satu model sahaja bagi sebuah sekolah tetapi model-model tersebut boleh digunakan dalam pelbagai aspek pengurusan sekolah tersebutt.