Ahad, 26 April 2009

KEPIMPINAN PENDIDIKAN DI SEKOLAH

KEPIMPINAN PENDIDIKAN DI SEKOLAH
PENGENALAN

Seorang pentadbir di sekolah harus mempunyai suatu hala tuju Untuk mencapai matlamat melalui sebarang cara ataupun semua cara usaha yang dilakukan

Cabaran utama sektor awam dan sektor swasta ke arah pengisian dan pencapaian Wawasan 2020 ialah untuk memastikan segala perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dapat dilaksanakan dan mencapai matlamatnya. Ini amat bergantung kepada keupayaan para pengurus dan pemimpin untuk mengurus dan memimpin sumber manusia yang terlibat. Ini adalah kerana kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada keupayaan dan kualiti sumber manusianya ke arah keberkesanan pelaksanaan segala perancangan yang dibuat.

DEFINISI

Kepimpinan

Menurut Fleishman (1973), kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh perseorangan yang diarahkan melalui proses komunikasi ke arah pencapaian sesuatu matlamat. Hersey dan Blanchard (1977) pula menyatakan kepimpinan adalah proses mempengaruhi kegiatan individu atau kumpulan dalam usaha mencapai matlamat dalam sesuatu tindakan.

Dalam konteks pendidikan, Campbell (1983) menyatakan kepimpinan ialah satu proses bagi seorang pengetua mendapatkan kerjasama kakitangan ke arah penyempurnaan matlamat tertentu.

Seterusnya menurut Katz dan Khan (1978 ) terdapat tiga perkara yang ditekankan dalam konteks kepimpinan iaitu kedudukan atau jawatan, sebgai peribadi seorang individu dan sebagai satu rangkaian tingkah laku yang tertentu.

Kepimpinan menurut Islam pula berteraskan konsep khalifah iaitu setiap manusia adalah pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dirinya, keluarga dan ahli-ahli di bawahnya.

“ Kamu sekelian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang rakyat yang dipimpinmu” ( Riwayat Bukhari Muslim).


KONSEP KEPIMPINAN DALAM PENDIDIKAN

Di sekolah, kepimpinan adalah satu aspek tingkahlaku dan juga sejenis pengaruh (Ramaiah 1999). Kepimpinan pengetua adalah bergantung kepada kedudukan formal dalam struktur organisasi sekolah. Kepimpinan jenis ini dinamakan kepimpinan formal. Jawatan pengetua diberi pengiktirafan dan status yang berwibawa dalam kedudukan organisasi sekolah sebagai ketua sekolah serta mempunyai kuasa atas segala aspek pengurusan sekolah. Apabila pengetua meninggalkan jawatan tersebut, status kepimpinan turut lenyap.

Dalam kontek kepimpinan dalam pendidikan, pengetua perlu melaksanakan dasar-dasar yang digubal oleh Kementerian dan Jabatan. Pengetua perlu memastikan bahawa semua dasar adalah jelas kepada semua anggota di sekolah, dan sebarang peraturan yang digubalnya mestilah bersesuaian atau berharmoni dengan dasar yang sedia ada di mana dasar-dasar ini adalah petunjuk arah serta kenyataan visi.

KEPIMPINAN PENGETUA DI SEKOLAH

Seorang pengetua yang memegang teraju di peringkat sekolah memerlukan pengetahuan dan pengalaman yang tinggi berkaitan dengan pendidikan. Ia perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang akademik, latar belakang murid dan masyarakat, masalah tingkahlaku pelajar dan kakitangan, kurikulum sekolah, pengurusan pejabat, konsep kepimpinan, hubungan komunikasi dan masalah politik semasa. Tanpa pengetahuan dalam bidang-bidang tersebut seorang pentadbir pendidikan akan merasa tidak yakin di atas keupayaan kepimpinannya. Jadi kepimpinan yang cekap adalah memainkan peranan yang penting di sekolah.

STAIL KEPIMPINAN PENGETUA

Agak sukar untuk menentukan jenis stail kepimpinan yang patut dilaksanankan di sekolah. Stail kepimpinan telah diperkenalkan oleh Max Weber, menurutnya terdapat tiga stail kepimpinan iaitu tradisional, birokratik dan karismatik.

Tradisional

Stail ini menunjukkan ciri-ciri pentadbiran yang autokratik. Stail ini dikaitkan juga dengan berpusatkan tugas, berpusatkan pengeluaran, pencapaian matlamat, pengenalan struktur, kepimpinan paksaan, Teori X dan juga kepimpinan paksaan. Pengetua/Guru Besar membuat keputusan seorang diri tanpa mengambilkira pendapat ahli lain dalam organisasi sekolah. Penglibatan guru-guru dalam membuat keputusan sangat sedikit. Walaupun pemimpin yang mengamalkan stail kepimpinan jenis ini dapat memastikan perlaksanaan tugas dengan sempurna, orang-orang bawahan yang diarahkan mungkin tidak mengetahui mengapa sesuatu itu dibuat (Ibrahim Mamat 1998). Ini akan menyebabkan semangat bekerja dan minat mereka lemah. Inisiatif dan kreativiti juga rendah. Walau pun begitu dalam keadaan kritis, stail tradisional adalah paling berkesan kerana keputusan yang tegas dan tepat diperlukan. Begitu juga situasi-situasi yang memerlukan kepakaran. Pengetua yang sepatutnya merupakan seorang pakar, mesti bersikap mengarah untuk membantu orang-orang bawahannya.

Birokratik

Stail birokratik berdasarkan barisan autoriti di mana tanggnugjawab dan peranan telah dijelaskan oleh pihak ketua. Ciri-ciri dalam stail kepimpinan ini ialah :
1. Kebanyakan keputusan dibuat oleh pihak ketua.
2. Kadang-kadang perancangan tanpa mengambil kira polisi yang telah ditentukan secara demokratik.
3. Kurang berlaku komunikasi dua hala.
4. Tidak mementingkan semangat kumpulan dalam perkerjaan.
5. Sesuatu tugasan merupakan paksaan.
6. Sukar mewujudkan kemersaan dalam suasana perkerjaan.

Krismatik

Ada unsur-unsur yang mengagumkan dan mistik. Kepimpinan jenis ini juga disebut sebagai keunggulan gelagat. Antara ciri-ciri kepimpinan ini ialah :
1. Menunjukkan bagaimana seseorang pemimpin itu berbeza-beza dengan orang lain dan ia boleh mempengaruhi pemimpin.
2. Mempunyai matlamat dan visi yang tinggi.
3. Boleh melaksanakan sesuatu aktiviti dengan cekap.
4. Boleh mempengaruhi pengikut secara tidak langsung walaupun tidak kesempatan untuk berkomunikasi dengan semua pengikut.

Menurut Ahmad Atory Hussain (1994), pemimpin berkarisma merujuk kepada kebolehan khusus seseorang pemimpin itu untuk memobilisasi dan meneruskan aktiviti-aktiviti organisasi melalui gabungan tindakan-tindakan serta sifat-sifat peribadi yang khusus.

Ada juga stail kepimpinan digolongkan sebagai autokratik, demokratik dan laissez-faire. Stail autokratik adalah bercorak tradisional. Mengikut stail autokratik, biasanya pemimpin memaksa kakitangan mengikut arahan, menjalankan sesuatu tugas tanpa perundingan terlebih dahulu.

Demokratik

Pemimpin yang mengamalkan ciri-ciri demokratik iaitu memberi pertimbangan terhadap pandangan ahli-ahli dalam organisasi. Di sekolah pengetua akan menyediakan maklumat-maklumat, mengesyorkan alternatif-alternatif, menggalakkan serta meningkatkan minat dan prestasi guru-guru. Sungguhpun pengetua yang demokratik sentiasa cuba untuk mempengaruhi guru-gurunya tetapi ia tidak mengongkong pemikiran dan perlakuan mereka. Selalu mengadakan rundingan dengan kakitangan sebelum membuat sesuatu dasar (keputusan bersama menjadi perkara penting). Kakitangan juga dapat berhubung dengan mudah untuk menyatakan sesuatu kepada ketua.

Ciri Kepimpinan Instrumental.

Kedua-dua Pengetua didapati mengamalkan juga ciri kepimpinan jenis ini yang menumpukan kepada kumpulan pengurusan, struktur dan proses pengurusan. Pemimpin jenis ini berusaha untuk membina kumpulan yang mempunyai daya saing yang kuat, memastikan kakitangan memahami tingkahlaku yang diperlukan dalam sesebuah organisasi.


Ciri Kepimpinan Transformasi.

Didapati kedua-dua pengetua mempunyai ciri kepimpinan Transformasi yang mengiktiraf, mengeksploitasi keperluan dan kehendak para pengikutnya. Bass (1990) menggambarkan pengetua yang mengamalkan kepimpinan transformasi ini sebagai memiliki prestasi dan keupayaan kepimpinan yang luar biasa. Mengikut Burns (1978) pemimpin yang mengamalkan ciri kepimpinan jenis ini juga melibatkan diri dengan orang lain melalui satu cara yang tertentu sehingga pemimpin dan pengikutnya dapat meningkatkan motivasi dan semangat bekerja ke satu tahap yang lebih tinggi.

Terdapat empat ciri utama yang memberi kekuatan kepada kedua-dua pengetua untuk menggerakkan guru-guru di bawahnya untuk mencapai matlamat yang telah dirancang. Ciri-ciri tersebut ialah berkarisma, memiliki inspirasi, memiliki pertimbangan kemanusiaan terhadap setiap individu dan memiliki stimulasi keintelektualan. Kepimpinan transformasi umumnya tidak terlalu berpaksi kepada pengaruh kekuasaan tetapi lebih kepada pengaruh personaliti yang menarik, sifat dalaman yang mantap dan ketrampilan semulajadi yang berasaskan keilmuan dan keintelektualan. Lebih daripada itu kepimpinan transformaasi ini didapati telah memberi kesan secara tidak langsung terhadap pencapaian akademik pelajar dikedua-dua buah sekolah.

PERANAN PENGETUA/GURU BESAR SEBAGAI PEMIMPIN DI SEKOLAH.

Mc Pherson dan Crowson (1987) menyatakan peranan seorang pengetua bertindan-tindih sebagai seorang guru, pengurus dan pemimpin. Walau apa pun pengetua tidak boleh melarikan diri daripada melaksanakan peranan utamanya dalam aktiviti pengajaran. Didapati kedua-dua pengetua mengajar subjek Pendidikan Moral di sekolah mereka.

Kedua-dua Pengetua juga berperanan sebagai pentadbir dan pengurus sekolah, kedua-dua pengetua juga bertanggungjawab terhadap kelicinan perjalanan di sekolah dan kemajuannya. Manakala sebagai pemimpin pendidikan-pengajaran mereka memberi kepimpinan, galakan, sokongan kepada guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam masa yang sama kedua-dua pengetua juga berusaha memimpin sekolah untuk mewujudkan persekitaran sosial yang sihat dan memberansangkan pengajaran dan pembelajaran.

PENGETUA/GURU BEASR SEBAGAI PEMIMPIN PENTADBIRAN

Barrow (1977) menyatakan kepimpinan pentadbiran ialah pola-pola tingkahlaku (secara relatif) yang bersekutu dengan kedudukan seseorang itu sebagai seorang pemimpin. Tingkahlaku ini adalah bertujuan untuk mempengaruhi atau mengarah individu atau kumpulan bagi mencapai tugasan dan objektif yang ditetapkan terlebih dahulu untuk organisasi. Dalam organisasi formal tingkahlaku ini adalah berkaitan dengan peranan-peranan formal seorang pemimpin itu.

Merujuk kepada kertaskerja Institut Aminuddin Baki bertajuk ‘Kepimpinan Pengetua Sekolah’ (1997) dhuraikan beberapa tugas pengetua sebagai pemimpin pentadbiran iaitu:

(a) Kewangan dan bekalan

Pengetua bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan kewangan. Pengetua perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam dan jelas dalam pengurusan hal-hal kewangan sekolah dengan memastikan penggunaan wang secara optima. Pengetua perlu mengagihkan peruntukan kewangan bagi sekolahnya untuk memenuhi keperluan kurikulum, pembelian alat dan kelengkapan sekolah. Sebagai pemimpin juga , pengetua bertanggungjawab atas akaun dan kewangan sekolah seperti Buku Tunai dan Buku Suwa. Contohnya di bawah akaun kerajaan pengetua bertanggungjawab atas gaji guru-guru dan kakitangan lain di sekolah serta ‘perkapital Grant’ berdasarkan jumlah murid. Sementara di bahagian Buku Suwa pengetua mesti berkebolehan mendapatkan keuntungan dari tender-tender kantin, sewa dewan dan lain-lain lagi. Dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan sebagai pengurus kewangan, kedua-dua pengetua terdedah kepada beberapa masalah yang boleh menjejaskan imej sebagai pemimpin pertadbiran sekolah. Antara faktornya ialah kerana kedua-dua Pengetua tidak mendapat pengetahuan dan latihan secara formal berkaitan dengan pengurusan kewangan, Pengetua kurang arif tentang prosedur urusan kewangan dan Pengetua menyerahkan tugas kewangan sepenuhnya kepada pembantu pegawai kewangan (kerani sekolah).

(b) Pembangunan Fizikal

Sebagai pemimpin, kedua-dua pengetua juga berperanan mengetahui keperluan fizikal untuk memenuhi segala kehendak kurikulum. Peranan utama mereka ialah memastikan wujud bilik darjah yang beriklim selesa seperti saiz bilik darjah dan ketinggian kerusi meja yang sesuai.

(c) Penyebaran maklumat

Tugas pentadbiran pengetua juga dilihat dari segi kebolehannya menyebarkan maklumat-maklumat tertentu kepada guru-guru, kakitangan, ibubapa dan masyarakat setempat mengenai ordinan-ordinan pelajaran, buku panduan sekolah dan surat-surat pekeliling seperti pakaian dan dan persatuan.

(d) Perkembangan kakitangan

Kedua-dua Pengetua juga dapat mengawal dan mendorong supaya wujud suasana kerjasama di kalangan guru dan kakitangan. Andrew dan Soder (1987) menyatakan pemimpin pentadbiran mengambil tindakan mengarah staf, menggunakan sumber-sumber yang ada di sekolah masing-masing supaya visi dan matlamat sekolah dapat dicapai.

Di samping itu, mereka juga berkebolehan mewujudkan kesesuaian sekolahnya dengan persekitaran. Menurut Dwyer (1984) pengetua harus bertindak balas terhadap masalah dari dalam dan luar sekolah di samping menyelesaikan gangguan-gangguan pembelajaran yang wujud hampir setiap hari. Selain daripada itu sebagai pemimpin, kedua-dua pengetua telah memastikan urusan pentadbiran lain seperti menyimpan rekod, mengesan dan mengumpul maklumat, merangka peraturan dan prosedur, menjadual dan mengagihkan tugasan guru, berhubung dengan ibu bapa, membuat belanjawan dan mengagih sumber.

Sebagai pemimpin pentadbiran, kedua-dua pengetua lebih cenderung untuk menumpukan perhatian serta menjalankan undang-undang atau peraturan. Mereka juga mengharapkan orang bawahan mematuhi undang-undang dan peraturan tersebut. Ini bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan disiplin kerja sebagai satu alat bagi mencapai matlamat sekolah.

Mengikut Leithwood dan Montgomery (1986) dalam Hussein (1993b), fokus pengetua yang bertingkahlaku sebagai pentadbir lebih bertumpu kepada aktiviti-aktiviti rutin organisasi sekolah itu sendiri dan bukan kepada pelajar. Bagi pengetua jenis ini pencapaian matlamat pengajaran adalah tanggungjawab guru. Ini kerana ia berpegang kepada falsafah bahawa guru mengajar manakala pengetua menjalankan pentadbiran sekolah. Pengetua SMK Yaacob Latif juga berperanan sebagai pentadbir untuk membuat keputusan dengan cara autokratik dan proses dalam membuat keputusan ini adalah reaktif. Ia bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.

Kedua-dua pengetua juga mengetahui tentang aspek-aspek penilaian, penyeliaan guru dan bukan semata-mata tentang pentadbiran pengajaran. Kajian yang dijalankan oleh Smith & Donna M (1995) terhadap ‘Constraints on the effecticeness of school and their principals’ di Alberta mendapati kekangan-kekangan yang kerap disenaraikan oleh pengetua ialah kekurangan peruntukan, diikuti dengan masa yang banyak diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah pelajar dan kekurangan kemudahan. Pengetua yang berperanan sebagai pemimpin pentadbiran yang lebih berkesan berorientasikan dalaman. Ini kerana pengetua jenis ini lebih menitikberatkan masalah yang terdapat dalam sekolah itu sendiri.



PENGETUA SEBAGAI PEMIMPIN PENGAJARAN

Glasman (1984) dalam Hussein Mahmood (1993) menghuraikan kepimpinan pengajaran sebagai tingkahlaku pengetua yang mendorong pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan matlamat akhirnya untuk mempertingkatkan prestasi akademik murid. Sementara Greenfield (1987) pula menjelaskan konsep kepimpinan pengajaran sebagai tindakan- tindakan yang diambil oleh pengetua dengan niat untuk mempertingkatkan keadaan pembelajaran yang produktif dan dikehendaki bagi kanak-kanak.

Kedua-dua Pengetua mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran teknikal berkaitan dengan pendidikan yang meliputi tugas-tugas menetapkan matlamat, kurikulum dan pengurusan sumber fizikal. Mereka juga menjalankan tugas-tugas seperti merancang, mengorganisasi, mengawal dan menyelaras, pengagihan tugas; penilaian pengajaran dalam bilik darjah dan penyelenggaraan sumber fizikal sekolah. Peranan sebagai pemimpin pengajaran dan kurikulum ini juga meliputi pelbagai tugas termasuk penyeliaan dan cerapan serta penilaian pengajaran pembelajaran di bilik darjah.

Konsep kepimpinan pengajaran mempunyai andaian bahawa seorang pengetua atau pemimpin pengajaran boleh dan berupaya mengubah persekitaran pembelajaran di sekolah. Antara ciri-ciri utama pemimpin pengajaran ialah mereka memberi perhatian berat kepada kebajikan pelajar. Mereka adalah pembaharu yang mengekalkan matlamat asas dan memperbaiki pembelajaran pelajar dan pada masa yang sama meneroka kaedah-kaedah pengajaran baru. Didapati kedua-dua pengetua sekolah tersebut mempunyai ciri-ciri seperti yang dinyatakan.

Seorang pengetua boleh mempengaruhi prestasi pengajaran guru dan pembelajaran pelajar dengan menggalakkan pengambilan norma-norma institusi yang mendorong pembentukan sikap positif dan kerjasama antara guru. Kedua-dua Pengetua sebagai pemimpin pengajaran memahami setiap aspek kurikulum dengan terperinci supaya boleh membuat perancangan menyeluruh serta memastikan segala yang dirancang dapat dijalankan dengan licin. Selain itu mereka harus memahami dasar dan sistem pendidikan khasnya kehendak dan keperluan kurikulum dari segi matlamat, kandungan, bahan, guru, murid, bilik darjah serta srtategi pengajaran, penyeliaan dan penilaian.

Pemimpin sebagai perekabentuk mereka bentuk visi, matlamat dan nilai utama yang dikongsi bersama oleh semua anggota. Sebagai pengajar pemimpin berfungsi sebagai pakar yang sentiasa memperbetulkan pandangan organisasi terhadap realiti iaitu bertindak dan sebagai fasilitator. Pada dasarnya pengetua kedua-dua sekolah menyedari bahawa salah satu daripada peranan yang perlu dilakukan oleh mereka ialah menjadi pemimpin pengajaran di sekolahnya.

Di Malaysia kepimpinan pengajaran mungkin lebih rumit memandangkan adanya masalah-masalah unik seperti kekurangan guru, guru-guru yang tidak mempunyai opsyen yang sesuai dan saiz kelas yang besar. Akibatnya pengetua menjadi keliru untuk memainkan peranan mereka sebagai pemimpin pengajaran. Selain daripada itu keberkesanan pengajaran bukan merujuk kepada prestasi dan keberkesanan pengajaran seorang guru sahaja. Yang lebih rumit ialah memotivasikan semua kakitangan ke arah kecemerlangan dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.. Weber (1989) menyatakan kepimpinan pengajaran ialah satu proses yang dinamik dan ia adalah usaha jangka panjang terhadap kecemerlangan.

Pengetua Dalam Kepimpinan Pengajaran.

Terdapat beberapa ciri penting yang diperlukan pengetua bagi menjalankan kepimpinan pengajaran dengan cara yang berkesan. Aspek itu ialah sikap, pengetahuan dan kemahiran pengetua. Seorang pengetua tidak mungkin dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan jika dirinya tidak mempunyai cukup pengetahuan, kemahiran dalam bidang atau tugas yang hendak disempurnakannya. Prestasi pengetua dalam kepimpinan pengajaran merupakan penggunaan pengetahuan dan kemahiran yang relevan yang dimilikinya dan ditunjukkan atau dilakukan menerusi tindakan atau tingkahlakunya.

Kedua-dua pengetua perlu mempunyai kebolehan mewawasankan sekolahnya. Wawasan ini akan memberi panduan bagi tindakan-tindakan yang akan diambil oleh pengetua. Kebolehan untuk menetapkan misi dan wawasan sekolah merupakan keperluan yang semestinya ada pada pengetua sekolah untuk mencapai matlamat.

Pengetua kedua-dua sekolah mahir dalam tugasan pengajaran. Ini bermakna kemahiran dan kecekapan dalam kandungan kurikulum, pemilihan jenis penilaian kurikulum dan aktiviti pembelajaran, kaedah pengajaran dan pengurusan kelas yang berkesan dikatakan syarat penting untuk melaksanakan peranan sebagai pemimpin pengajaran. Seorang pengetua dikatakan harus berpengetahuan dan berkemahiran dalam perkembangan atau kemajuan kurikulum serta berkebolehan dalam meningkatkan mutu pengajaran di sekolahnya. Oleh itu program latihan untuk para pengetua perlu menekankan kemahiran dalam kurikulum. Pengesanan dan penilaian pula perlu dilakukan untukl oleh pengetua supaya suatu piawaian yang hendak dicapai oleh sekolah dapat dicapai.. Untuk itu pengetua harus berkemahiran dalam dalam pengesanan dan penilaian prestasi, penilaian kurikulum dan pengajaran, pengujian dan penilaian pendidikan dan pembinaan kaedah penilaian dan alat-alatnya. Penyeliaan pula bertujuan untuk memperbaiki pengajaran.. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran teknikal khusus dalam bidang kurikulum pengajaran, pengesanan dan penilaian serta hubungan manusia menyumbang kepada kecekapan menyelia.

Kedua-dua pengetua tersebut didapati cekap dalam hubungan manusia iaitu hubungan personal dan komunikasi dalam pengurusan. Kemahiran ini amat penting dalam kepimpinan pengajaran kerana pengetua perlu berinteraksi dan meminpin ahli-ahli yang sama di dalam dan di luar kelas. Kemahiran komunikasi yang diperlukan pengetua meliputi kemahiran dalam menyuruh, memotivasi dan berunding dengan orang lain.

Sikap memandu tingkahlaku. Dalam kajian sekolah berkesan, para pengetua yang dilabelkan sebagai pemimpin pengajaran mempunyai sikap positif terhadap pembelajaran pelajar. Mereka mempercayai bahawa setiap pelajar boleh belajar dan boleh diajar.

Kajian-kajian mengenai sekolah berkesan menyarankan bahawa pengetua sekolah seharusnya berperanan sebagai pemimpin pengajaran (instructional leaders) kerana kepimpinan pengajaran dapat menghasilkan pembelajaran yang berkesan (Cawelti 1980) dan prestasi akademik yang cemerlang. Ertinya jika pengetua memainkan peranannya sebagai pemimpin pengajaran di sekolahnya maka proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di bilik darjah akan berlaku. Kajian –kajian sekolah berkesan menghuraikan tingkahlaku-tingkahlaku kepimpinan pengetua yang dikatakan berkesan, iaitu tingkahlaku-tingkahlaku yang positif yang mendorong ke arah berlakunya proses pengajaraan pembelajaran yang berkesan yang seterusnya mempengaruhi prestasi murid untuk menjadi baik. Tingkahlaku-tingkahlaku ini termasuklah;

(a) Mengutamakan pencapaian prestasi murid.
(b) Menetapkan strategi-strategi pengajaran yang berkaitan dengan
pencapaian prestasi murid.
(c) Mewujudkan suasana pembelajaran yang teratur dan baik.
(d) Sentiasa menilai pencapaian murid.
(e) Menyelaras program pengajaran pembelajaran.
(f) Memberi sokongan kepada guru.

Pengetua yang berfungsi sebagai pemimpin pengajaran yang berkesan dapat memberi galakan dan dorongan yang kuat kepada guru untuk merancang dan melaksanakan tugas pengajaran. Cooperman (1994) dalam kajiannya The Principal : An Educational Leader menekankan terdapat tiga perkara asas yang mesti dilaksanakan oleh pengetua untuk mempertingkatkan pembelajaran di sekolah iaitu:
(a) Disiplin - iaitu mewujudkan iklim pembelajaran.
(b) Kursus-kursus yang diajar – terangkan dengan jelas apa yang akan
diajar.
(b) Penyeliaan pengajaran - mempastikan apa yang perlu diajar telah
diajar dengan baik.


PENUTUP

Kesimpulannya, kedua-dua pengetua telah mewujudkan persekitaran pembelajaran di sekolah. Kepimpinan pendidikan secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran malahan pemupukan kebolehan guru serta membentuk dan menyelaras daya usaha guru. Yang penting pengetua mesti memainkan fungsi pengajaran (Edmond 1979, Ubbens dan Hughes (1997).

Sistem pendidikan negara telah mengalami perubahan selaras dengan perkembangan negara dalam aspek pembangunan, sosial, ekonomi dan budaya. Sehubungan dengan itu peranan dan tanggungjawab pengetua juga telah mengalami perubahan dari semasa ke semasa dan mereka perlu berusaha mengubahnya mengikut masa dan situasi.

1 ulasan:

  1. boleh bagi rujukan dalam format APA system artikel ni?

    BalasPadam